Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday 29 June 2011

Mencari BAHAGIA

Keinginan manusia untuk BAHAGIA sering tidak kesampaian disebabkan ramai yang tidak tahu apa makna BAHAGIA sebenar dan cara untuk mendapatkannya. Tidak ada manusia yang tidak inginkan kebahagiaan. Malah, apa-apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

Apa itu BAHAGIA?
BAHAGIA @ KEBAHAGIAAN itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras dengan petunjuk Allah dalam al-Quran. Firman Allah, bermaksud: "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd 13:28)

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan berasa cukup dengan apa yang dimiliki - bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara : "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu dan mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara "auto pilot". Yakni tanpa mujahadah dan bersusah payah serta perlu difikir-fikirkan lagi.